Agong terima kunjungan Presiden Iran dan Turki

Bernama
Disember 18, 2019 20:21 MYT
Pemimpin Iran dan Seri Paduka membincangkan langkah-langkah untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala serta perdagangan antara kedua-dua negara.- Foto Jabatan Penerangan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima kunjungan Presiden Iran Hassan Rouhani dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan secara berasingan di Istana Negara di sini hari ini.
Kedua-dua pemimpin berkenaan kini berada di ibu negara bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 yang bermula hari ini hingga Sabtu.
Kunjungan tersebut merupakan yang pertama bagi kedua-dua pemimpin dengan Seri Paduka sejak Al-Sultan Abdullah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari.
Semasa pertemuan 20 minit dengan Rouhani yang bermula 5.35 petang, pemimpin Iran dan Seri Paduka membincangkan langkah-langkah untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala serta perdagangan antara kedua-dua negara.
Perbincangan itu juga menyentuh mengenai keperluan untuk lebih banyak usaha bagi Malaysia dan Iran mengenal pasti dan membangunkan kerjasama yang berpotensi dalam perdagangan dan pelaburan untuk manfaat kedua-dua negara.
#Al-Sultan Abdullah #Hassan Rouhani #KLSummit2019 #Kuala Lumpur #Malaysia #Presiden Iran #Presiden Turki #Recep Tayyip Erdogan #Sidang Kemuncak Kuala Lumpur #Turki #Yang di-Pertuan Agong
;