Agong tanya bila waktu sesuai adakan PRU15 - Dr Mahathir

Astro Awani
Jun 10, 2021 19:37 MYT
Dr Mahathir melambai kepada petugas media yang bertugas di Pintu Dua, Istana Negara pada Khamis. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertanya kepadanya mengenai waktu yang sesuai bagi negara mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, pilihan raya tidak wajar dilakukan dalam tempoh terdekat kerana bimbang kemungkinan peningkatan mendadak kes COVID-19 seperti yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.
"Tiada indikasi mengenai darurat walaupun baginda ada bertanya sama ada PRU15 boleh diadakan tahun depan atau bila-bila masa.
"Saya mengatakan bahawa adalah bahaya jika pilihan raya kerana kita telah lihat apa yang berlaku di Sabah. Jika pilihan raya diadakan, maka kes COVID-19 akan meningkat mendadak sekali lagi, jadi itu yang saya beritahu baginda," katanya dalam sidang media secara talian pada Khamis.
LAPOR LANGSUNG: Empat lagi wakil parti selesai menghadap Agong hari ini
[TERKINI] Sidang Media Tun Dr Mahathir Mohamad | 10 Jun 2021
Kata Ahli Parlimen Langkawi itu, masa terbaik untuk mengadakan PRU-15 adalah apabila negara telah mecapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok.
“Tunggu 80 peratus rakyat sudah divaksin baru boleh buat pilihan raya, jangan ulang tragedi PRN Sabah,” ujarnya.
Hari ini, Dr Mahathir dan tiga lagi ketua parti politik telah mendapat perkenan menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.
Dalam pertemuan yang berlangsung lebih kurang sejam itu, Dr Mahathir turut berkata beliau telah mencadangkan berhubung penubuhan kerajaan atau kuasa baharu sama seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang pernah ditubuhkan pada tahun 1969 ketika menghadap Al-Sultan Abdullah.
#Mahathir Mohamad #Al-Sultan Abdullah #MAGERAN #COVID-19 #PRU15 #Pilihan Raya Umum ke-15 #PRN Sabah #Pilihan Raya Negeri Sabah #imuniti kelompok #Langkawi
;