Agong seru rakyat hayati, teladani ketokohan negarawan Tun Dr Ismail
Bernama
Ogos 2, 2023 12:30 MYT
Ogos 2, 2023 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat khususnya para pemimpin menghayati dan meneladani ketokohan serta jasa negarawan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman dalam membangunkan negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata Seri Paduka menyifatkan Dr Ismail sebagai negarawan yang tiada galang ganti.
Menurutnya, Al-Sultan Abdullah juga menyifatkan Allahyarham sebagai antara tokoh dan figura utama perpaduan negara yang memainkan peranan amat penting dalam mengukuhkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama, terutama pascarusuhan dan pascaperbalahan kaum pada 1969.
"Seri Paduka bertitah Allahyarham sepanjang perkhidmatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan anggota Jemaah Kabinet juga telah mempamerkan sifat-sifat insan unggul yang berhemah tinggi, berintegriti dan sentiasa bersedia untuk menyumbang demi negara.
"Justeru, Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi harapan agar jasa dan pengorbanan Allahyarham bukan sahaja menjadi sumber inspirasi dan teladan seluruh rakyat Malaysia, malah juga wajib dicontohi para pemimpin masyarakat dan politik demi kemakmuran dan kesejahteraan negara tercinta," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Zahari berkata Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa sukacita dan menyambut baik inisiatif kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital yang mengadakan program hari ini bagi memperingati jasa dan bakti Dr Ismail sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Menurutnya, Seri Paduka bertitah selain memperingati jasa dan memberi penghormatan, inisiatif itu juga dapat memupuk dan menaikkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda agar tidak lupa dan mempersia-siakan pengorbanan negarawan seperti Dr Ismail.
"Seri Paduka mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan para solihin," katanya.
Bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan ini, Zahari berkata Seri Paduka turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar Malaysia terus dilimpahi kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang berkekalan serta dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana.
Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj-Tonggak Perpaduan Negara yang dianjurkan bagi mendidik generasi muda berkenaan sumbangan tokoh itu dalam membangunkan negara, berlangsung hari ini di Dataran Merdeka, di sini, dan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA