Agong seru rakyat hayati semangat patriotisme dan cintakan Wilayah Persekutuan

Astro Awani
Januari 31, 2021 16:17 MYT
Al-Sultan Abdullah bertitah, sikap prihatin tidak hanya sekadar slogan sahaja, sebaliknya ia merangkumi keseluruhan pembentukan dan pemikiran dasar kerajaan sehingga ke peringkat pelaksanaan dan penyampaiannya. - Bernama
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong menyeru rakyat untuk menghayati semangat patriotisme dan cintakan Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 yang akan disambut pada Isnin (1 Februari).
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semangat tersebut perlu dicerminkan menerusi sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain.
“Prihatinlah terhadap keluarga kita, sahabat kita, jiran kita, pekerja kita dan semua insan yang berada di sekeliling kita. Prihatin jugalah kepada tanah air kita.
“Jagalah keharmoniannya, pertahankanlah keamanan, peliharalah kesejahteraannya. Insya-Allah, Wilayah Persekutuan dan negara yang tercinta ini akan kekal merdeka, bebas dan berdaulat salama-lamanya,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.
Sambutan Hari Wilayah tahun ini bertemakan ‘Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin’.
Mengulas lanjut, Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa sikap prihatin tidak hanya sekadar slogan sahaja, sebaliknya ia merangkumi keseluruhan pembentukan dan pemikiran dasar kerajaan sehingga ke peringkat pelaksanaan dan penyampaiannya.
Kata beliau, Al-Sultan Abdullah menitahkan walaupun kerajaan berada dalam situasi yang sukar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan.
“Dengan sambutan tahun ini yang bertemakan 'Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin', ia amat selari dengan aspirasi Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi berkait dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat melalui inisiatif-inisiatif yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup warga Wilayah Persekutuan," jelas Ahmad Fadil.
Dalam perkembangan sama, Seri Paduka menyifatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sebagai nadi yang menjana pertumbuhan negara.
Ia dapat dilihat menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 yang menunjukkan sumbangan Wilayah Persekutuan kepada ekonomi negara adalah sebanyak 13.5 peratus.
Bagaimanapun titah Al-Sultan Abdullah, angka pertumbuhan ekonomi hanya akan bermakna apabila rakyat mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi, kediaman yang selesa, pendidikan yang sempurna, kesihatan yang baik, alam sekitar yang lestari serta keselamatan yang sentiasa terpelihara untuk menjalani kehidupan yang bahagia dan sejahtera.
“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat menunaikan tanggungjawab sosial dan nilai-nilai murni terhadap komuniti setempat bagi memastikan keharmonian terpelihara dan kekal berpanjangan.
“Sesungguhnya wabak COVID-19 ini telah memberikan satu pengajaran yang amat bermakna kepada kita semua dan Seri Paduka Baginda menzahirkan kesyukuran kerana kita mampu menangani dan memerangi krisis ini kerana kita prihatin.
“Semangat keprihatinan ini amat terserlah melalui usaha-usaha para petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus siang dan malam membendung wabak COVID-19.
“Ia juga terserlah melalui usaha-usaha murni Kerajaan dan para sukarelawan membantu golongan yang memerlukan serta juga melalui pematuhan SOP oleh rakyat jelata,” kata beliau lagi.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda mengambil kesempatan mengajak rakyat bersama Baginda mendoakan semoga negara khususnya Wilayah Persekutuan akan bertambah makmur dan terus meningkat maju serta sentiasa dalam perlindungan dari sebarang musibah dan malapetaka.
Selain itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar rakyat terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan memandangkan situasi wabak masih berada di tahap kritikal.
“Seri Paduka Baginda menasihati rakyat supaya terus bertenang, tabah dan cekal menghadapi PKP serta pelaksanaan Proklamasi Darurat demi kepentingan dan keselamatan diri bersama serta negara.
“Sememangnya, dengan pelaksanaan PKP, Seri Paduka Baginda amat memahami cabaran yang dihadapi, khususnya aktiviti ekonomi harian rakyat yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19,” jelas Ahmad Fadil.
#Merdeka #Yang di-Pertuan Agong #SOP #KDNK #COVID-19 #Keluaran Dalam Negara Kasar #PKP #Hari Wilayah Persekutuan
;