Agong seru IPT main peranan wujudkan akomodasi kaum

Hafizi Rosli
Ogos 5, 2023 11:48 MYT
Al-Sultan Abdullah menyeru Universiti Teknologi MARA serta Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta memainkan peranan ke arah mewujudkan semangat akomodasi antara kaum. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru Universiti Teknologi Mara (UITM) serta Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) memainkan peranan ke arah mewujudkan semangat akomodasi antara kaum.
Titah baginda, semangat akomodasi antara kaum dan kesepaduan dalam kepelbagaian adalah ciri demokrasi Malaysia yang paling bestari.
Dalam masa sama, Al-Sultan Abdullah berharap setiap masyarakat akan terus memartabatkan nasib dan masa hadapan menerusi pendidikan.
"Beta menyeru kepada universiti ini; serta seluruh institusi pengajian tinggi awam; dan swasta untuk memainkan peranan ke arah mewujudkan semangat akomodasi antara kaum.
"Kita boleh terus memartabatkan nasib dan masa hadapan kaum masing-masing menerusi pendidikan; tetapi pada masa yang sama tidak mengenepikan usaha ke arah pembentukan satu identiti nasional," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-97, di sini, pada Sabtu.
Titah baginda lagi, dalam usaha untuk melahirkan bangsa masyarakat Melayu dan Bumiputera yang berpendidikan tinggi, UiTM sewajarnya tidak harus alpa dengan kemajmukan dan kerencaman masyarakat di negara ini.
Perjuangan untuk memartabatkan sesuatu bangsa, titah baginda, tidak seharusnya menjerumuskan negara ke arah polarisasi sehingga menggugat semangat perpaduan yang didambakan.
"Polarisasi akan wujud bila mana kaum-kaum semakin merenggang di antara satu dengan yang lain sama ada disebabkan oleh perasaan; sikap; tujuan dan cita-cita yang mengakibatkan kurangnya berlaku perhubungan antara pelbagai kaum.
"Polarisasi turut membawa implikasi sosio-budaya yang luas; dan jika tidak di-bendung akan mengundang unsur-unsur radikalisme dan ekstremisme sehingga mewujudkan skala pertentangan yang besar dalam masyarakat," titah baginda lagi.
Al-Sultan Abdullah bertitah, segala batas pemisah, jurang perbezaan dan lautan prasangka perlu segera direntasi dalam usaha melahirkan masyarakat masa hadapan yang hidup dengan keharmonian.
Baginda turut menzahirkan tahniah kepada semua graduan yang akan yang berjaya menamatkan pengajian pada istiadat konvokesyen kali ini.
Istiadat Konvokesyen UiTM ke-97 kali ini turut mencatat sejarah apabila skrol ke sejuta akan diberikan kepada graduan menjadikan jumlah alumni lebih 700,000 orang.
#Institusi Pengajian Tinggi #UiTM #Yang di-Pertuan Agong #kaum
;