Agong sempurnakan sambutan Jubli Emas 50 tahun Stadium Darul Makmur

Bernama
November 25, 2023 06:00 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berjalan mengelilingi stadium dan melambai ke arah rakyat jelata yang hadir. - Foto BERNAMA
KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur di sini pada Sabtu.
Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama ialah barisan pentadbiran Pahang yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Seri Paduka pada titah Diraja menzahirkan rasa bangga kerana ramai anak Pahang dapat menjadi jaguh sukan termasuk di peringkat antarabangsa hasil daripada program pembangunan sukan negeri yang turut melibatkan Stadium Darul Makmur.
"Saya beryukur kerana dapat bersama-sama di sini untuk mengingat kenangan-kenangan manis selama 50 tahun dan stadium ini telah melahirkan ramai anak muda menjadi jaguh sukan.
"Saya berharap 50 tahun lagi lebih ramai jaguh baharu dapat dilahirkan di Pahang, jika diizinkan Allah SWT," titah Seri Paduka yang turut berkenan menyempurnakan pelancaran logo baharu Perbadanan Stadium Darul Makmur.
Sambutan Jubli Emas itu dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh 420 pelajar sekolah menengah dari sekitar Kuantan, yang antara lain melibatkan persembahan tarian lagu 'Ale Ale Tok Gajahku' yang sinonim dengan penyokong bola sepak Pahang.
Turut dipaparkan ialah tayangan montaj perlawanan bola sepak pasukan Malaysia menentang Thailand pada pembukaan stadium itu pada 1973 dan memoir lima dekad Stadium Darul Makmur, selain persembahan bunga api serta artis terkenal.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang Fadzli Mohamad Kamal pada ucapannya berkata stadium itu bukan sekadar mercu tanda negeri, namun "cukup dekat" dengan keluarga Diraja Pahang.
Ia bermula dari penubuhan stadium, yang menurut Fadzli adalah cetusan Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah pada 1965 yang turut berkenan memilih nama Stadium Darul Makmur sebelum fungsi stadium berkembang dengan signifikan di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah antara 1974 hingga 2019.
Aura stadium yang terletak di tengah bandar Kuantan itu, menurut Fadzli semakin memuncak apabila Al-Sultan Abdullah dipilih menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2014 hingga 2017, selain selaku Naib Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 2002 sehingga 2015 dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 2015 hingga 2019.
"Rakyat Pahang sendiri menjadi saksi stadium ini telah mementaskan pelbagai kejohanan berprestij seperti Sukan Malaysia (Sukma) pada 1996 dan 2012 dan Piala Dunia FIFA Bawah 20 tahun pada 1997 selain beberapa siri kejohanan Pesta Bola Merdeka.
"Rakyat Pahang juga dapat menyaksikan kegemilangan skuad Tok Gajah di stadium ini, yang sentiasa penuh dan cukup meriah, hingga Pahang dinobatkan juara sulung Liga Super pada 2004, juara Piala FA 2006 dan 2014 dan pastinya segar di ingatan apabila Pahang mengungguli Piala Malaysia dua tahun berturut-turut pada 2013 dan 2014," katanya.
Fadzli berkata sempena Sambutan Jubli Emas itu, turut diterbitkan ialah buku khas berjudul 'Memoir Lima Dekad: Stadium Darul Makmur' oleh perbadanan stadium dengan kerjasama tenaga penyelidik dan pengarang dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Stadium Darul Makmur #Jubli Emas #pembangunan sukan
;