Agong santuni 60 asnaf Cameron Highlands

Amirrul Rabbani
Januari 6, 2023 14:39 MYT
Al-Sultan Abdullah berkenaan memandu sendiri kenderaan rasmi dan berangkat tiba di majlis pengurniaan yang diadakan di perkarangan Masjid Abu Bakar, Tanah Rata. - Foto Astro AWANI
CAMERON HIGHLANDS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyantuni dan mengurniakan sumbangan peribadi kepada 60 asnaf dari Cameron Highlands, pada Jumaat.
Al-Sultan Abdullah berkenaan memandu sendiri kenderaan rasmi dan berangkat tiba di majlis pengurniaan yang diadakan di perkarangan Masjid Abu Bakar, Tanah Rata di sini.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda sekitar jam 1.25 petang itu disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehudin Ishak serta Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.
Sebelum majlis, Seri Paduka Baginda berangkat menunaikan solat Jumaat bersama 800 jemaah dan mendengar khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Intergriti Dalam Pekerjaan’.
Dalam teks khutbah yang disampaikan Kadi Cameron Highlands yang juga imam bertugas, Mohd Khalil Mohd Zari Al Hafiz, menekankan bahawa intergriti adalah sebahagian daripada nilai-nilai penting dan akhlak mulia yang berperanan untuk membina tingkah laku dan sahsiah manusia untuk menjadi mulia.
Usai solat Jumaat, Al-Sultan Abdullah berkenaan meluangkan masa bertanya khabar serta beramah mesra dengan jemaah yang hadir.
Seri Paduka Baginda kemudian berangkat mengurniakan sumbangan peribadi serta barangan keperluan asas daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada para asnaf.
#Yang di-Pertuan Agong #Cameron Highlands #warga emas #Solat Jumaat
;