Agong sampaikan biasiswa BYDPA kepada 12 pelajar

Bernama
Mei 24, 2017 15:43 MYT
Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan biasiswa bagi pengajian Doktor Falsafah (PhD) James Tan You Sian pelajar Kejuruteraan Bahan di University Oxford pada Istiadat Penganugerahan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini berkenan mengurniakan biasiswa Yang Di-Pertuan Agong (BYDPA) 2017 kepada 12 penuntut institusi pengajian tinggi di Istana Negara di sini.
Kesemua penerima biasiswa, yang dipilih oleh Jawatankuasa BYDPA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu, melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sains dan teknologi di universiti-universiti tempatan dan luar negara.
Enam yang menerima biasiswa bagi pengajian PhD ialah James Tan You Sian, pelajar Kejuteraan Bahan di University Oxford, United Kingdom; Christina Parvinder Kaur (Sains Perubatan, Universiti Malaya (UM); Fakhitah Ridzuan (Pengurusan Sistem Maklumat Universiti Sains Malaysia (USM); Mohd Fadhli Abd Rashid (Kejuteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia); Iffa Farahin Jeepery (Biokomia, USM) dan Leong Xin Yun (Biologi Molekul, University of Cambridge, United Kingdom).
Enam penerima bagi pengajian Sarjana pula ialah Daniel Liew Yu Chuan (Kejuteraan Awam, UTM); Heng Wei Khang (Sains Biologi Marin, UM); Jaezah Adlina Zainal Azman (Pharmacology and Translational Medical Science, University Oxford); Kaif Hilman Muhammad Borhan Tan (Matematik, University Of Cambridge, UK); Nur Nadia Che Aziz (Sains Perubatan, USM) dan Vinnothini Rasalingam (Kejuteraan Elektrik dan Elektronik, Imperial College, London).
BYDPA mula diperkenalkan pada 2006 untuk mengiktiraf kebolehan luar biasa seseorang pelajar.
Sehingga kini, sebanyak 11 sesi penawaran telah dilaksanakan dengan menaja seramai 129 pelajar iaitu 65 pelajar di peringkat PhD dan 64 pelajar di peringkat Sarjana.
Bidang pengajian yang ditaja meliputi empat bidang utama iaitu sains dan teknologi, ekonomi, undang-undang dan kewangan Islam.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Datuk Dr. Rosslina Ahmad Mokhtar.
-- BERNAMA
#biasiswa #ijazah #pelajar #PhD #Yang di-Pertuan Agong
;