Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga wakil tetap Malaysia ke ASEAN

Bernama
April 1, 2022 10:40 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN Kamsiah Kamaruddin, yang meninggal dunia semalam. -Facebook Istana Negara
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN Kamsiah Kamaruddin, yang meninggal dunia semalam.
Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi catatan dalam laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan berharap seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.
"Seri Paduka baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
"Seri Paduka baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa dan pengorbanan Allahyarhamah kepada negara," menurut catatan itu.
Dalam pada itu, Seri Paduka menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar kepada negara, khususnya kepada Kementerian Luar.
Allahyarhamah meninggal dunia di Hospital Siloam Semanggi, Jakarta kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan) disebabkan denggi dan komplikasi kesihatan.
Kamsiah, 54, berkhidmat di Wisma Putra sejak 1992 dan dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN pada 16 Julai 2019 serta pernah bertugas di Thailand dan Singapura.
Anak kelahiran Perak itu juga pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Setiausaha Bahagian Amerika, Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia dan Setiausaha di Jabatan Hal Ehwal Dua Hala Eropah.
Allahyarhamah merupakan isteri kepada Duta Besar Malaysia ke Filipina Norman Muhamad.
-- BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Raja Permaisuri Agong #Istana Negara #Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
;