Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga mendiang Suppiah Ramalingam
Bernama
Mei 25, 2022 13:13 MYT
Mei 25, 2022 13:13 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas jurulatih olahraga atlet olimpik Malaysia, Suppiah Ramalingam yang meninggal dunia pada Ahad lepas.
Istana Negara menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi hari ini menyatakan, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih atas pemergian Suppiah serta berharap keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
"Seri Paduka berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan olahraga negara," menurut hantaran itu.
Berasal dari Perak, Suppiah semasa hayatnya pernah membimbing tiga atlet olahraga negara sehingga berjaya beraksi di Sukan Olimpik antaranya ratu balapan negara M. Rajamani pada Sukan Olimpik Tokyo 1964.
Selain bidang kejurulatihan, Suppiah merupakan seorang atlet olahraga yang banyak memenangi pertandingan di Perak semasa zaman kegemilangannya.
Media melaporkan Suppiah, 94, meninggal dunia di Ipoh, Perak akibat strok. - BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong
#Raja Permaisuri Agong
#Suppiah Ramalingam
#jurulatih olahraga atlet olimpik Malaysia