Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga bekas ADUN Rembia

Bernama
Mac 15, 2022 22:16 MYT
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu. - Facebook Istana Negara
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Norpipah Abdol, yang meninggal dunia hari ini.
Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.
"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarhamah kepada masyarakat dan negeri Melaka," menurut catatan itu.
Norpipah, 68, merupakan ADUN Rembia selama tiga penggal dari 2008 hingga 2018 dan pernah menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Kesihatan Melaka.
-- BERNAMA
#bekas ADUN Rembia #Yang di-Pertuan Agong #ucapan takziah #Raja Permaisuri Agong
;