Agong, Raja Permaisuri tunai solat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan

Mohd Zalani Md Atan
Julai 10, 2022 10:20 MYT
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota. -Astro AWANI/Mohd Zalani Md Atan
KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota, Kuantan.
Keberangkatan Seri Paduka turut diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan tiba pada jam 8.20 pagi, disambut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pentadbiran negeri Pahang.
Seri Paduka berdua turut diiringi anakanda yang juga Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Al-Sultan Abdullah kemudian menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Imam Satu Masjid Tengku Ampuan Afzan, Mohd Hafidz Mohamad Suhaile.
Baginda bersama jemaah kemudian bertakbir raya sebelum mendengar bacaan khutbah Aidiladha, yang juga disampaikan Imam Satu Masjid Tengku Ampuan Afzan.
Al-Sultan Abdullah turut beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan baginda sebaik selesai khutbah Aidiladha.
Selesai mengerjakan solat sunat, Seri Paduka bersama Pemangku Raja Pahang, berkenan menunaikan ibadah korban dengan menumbangkan tiga ekor lembu.
#Yang di-Pertuan Agong #Raja Permaisuri Agong #solat sunat Aidiladha #Masjid Tengku Ampuan Afzan
;