Agong, Raja Permaisuri tiba di Turkiye untuk lawatan negara
Bernama
Ogos 15, 2022 00:39 MYT
Ogos 15, 2022 00:39 MYT
ANKARA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di sini bagi Lawatan Negara ke Turkiye selama tujuh hari bermula hari ini.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua serta delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga di sini pada kira-kira 5.30 petang (waktu tempatan) dan diberi sambutan hamparan permaidani biru.
Turut berangkat anakanda Seri Paduka, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan 'Athiyatullah.
Seri Paduka berdua, yang berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada kira-pukul 10 pagi, turut diiringi Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut oleh Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay, Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal dan Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel.
Tunku Azizah turut dipersembah jambangan bunga daripada dua kanak-kanak sebagai mengalu-alukan keberangkatan Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kemudian melintasi Kawalan Kehormat Setempat Kor Tentera ke-4 serta Komander Garrison Ankara dan Seri Paduka bertitah 'Merhaba Askar' (Sejahtera Askar).
Semasa di Ankara, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Republik Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden serta berangkat menghadiri Majlis Santapan Negara yang dihoskan Erdogan dan isteri, Puan Yang Terutama Emine Erdogan.
Seri Paduka juga dijadual berangkat melawat syarikat pertahanan Turkiye, FNSS Defence Systems A.S dan Turkish Aerospace Industries manakala Raja Permaisuri Agong dijadualkan berangkat melawat Muzium Goreme di Cappadocia dan Ankara Advance Technical Institute For Girls.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri kemudian akan berangkat ke Istanbul pada Khamis sebelum dijadualkan berangkat ke Majlis Santapan Bersama diaspora Malaysia di sana.
Sepanjang lawatan di Istanbul, Seri Paduka berdua akan berangkat melawat beberapa tempat bersejarah antaranya Makam Abu Ayyub al-Ansari, Makam Sultan Abdul Hamid II, Masjid Besar Hagia Sophia dan Muzium Istana Topkapi sebelum berangkat pulang ke tanah air pada Ahad.
Lawatan Negara yang ketiga buat Seri Paduka berdua ini adalah atas undangan Erdogan dan dijadualkan pada tahun lepas namun terpaksa ditangguhkan susulan penularan COVID-19.
Lawatan ini penting bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye yang sekali gus melambangkan keakraban serta keteguhan jalinan persahabatan kedua-dua negara sejak 1964.
Ia turut mencerminkan keprihatinan Seri Paduka berdua terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia dan kelestarian prestasi pelaburan serta kepentingan negara di Turkiye.
Lawatan Negara terakhir oleh Yang di-Pertuan Agong ke Turkiye ialah pada 1992 oleh Yang di-Pertuan Agong ke-9 iaitu Almarhum Sultan Azlan Shah.
-- BERNAMA