Agong, Raja Permaisuri tiba di Singapura untuk Lawatan Negara sulung
Bernama
Mei 6, 2024 12:17 MYT
Mei 6, 2024 12:17 MYT
SINGAPURA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat tiba di Singapura hari ini bagi mengadakan Lawatan Negara selama dua hari ke republik berkenaan.
Lawatan Negara itu adalah yang pertama sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta pada 31 Jan lepas dan atas jemputan Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam.
Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong berangkat dari Istana Besar, Johor pada pukul 9.45 pagi dengan kereta diiringi dua Menteri Pengiring iaitu Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua turut diiringi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah yang masuk ke Singapura melalui laluan Tambak Johor dan tiba di Istana untuk Majlis Sambutan Negara pada pukul 10.45 pagi disambut oleh Tharman dan isteri, Jane Ittogi Shanmugaratnam.
Presiden Singapura kemudian mengiringi Seri Paduka Baginda memeriksa kawalan kehormat di dataran Ceremonial Plaza, Istana.
Sejurus Majlis Sambutan Negara berakhir, Sultan Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Tharman sebelum menerima menghadap kunjungan hormat Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang bakal melepaskan jawatannya pada 15 Mei depan.
Di sebelah malam, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah akan berangkat ke Majlis Santapan Negara yang dihoskan oleh Tharman di Istana.
Hari kedua Lawatan Negara pada Selasa akan dimulakan dengan Yang di-Pertuan Agong dijadual menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Singapura Lawrence Wong, disusuli lawatan ke bangunan Parlimen.
Pada masa sama, Raja Permaisuri Agong berkenan mengadakan lawatan ke sebuah hospital wanita dan kanak-kanak di sini.
Sebelum berangkat pulang ke Malaysia, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan melihat perkembangan projek stesen Projek Rapid Transit System Link (RTS Link).
RTS Link ialah projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen, masing-masing di Bukit Chagar, Johor Bahru dan di Woodlands North, Singapura.
Sultan Ibrahim pada 22 Nov 2020 berkenan merasmikan Majlis Pecah Tanah projek berkenaan.
-- BERNAMA