Agong, Raja Permaisuri hadir Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih

Bernama
Januari 8, 2024 07:30 MYT
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat tiba pada Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur, malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah malam tadi berkenan berangkat ke Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih.
Majlis itu, yang diadakan bersempena dengan tamatnya pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini, berlangsung di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Pertahanan di sini.
Ia disertai 370 tetamu daripada ketiga-tiga ketumbukan ATM iaitu tentera darat, laut dan udara.
Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta isteri, Datin Seri Rosni Omar, dan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman serta isteri, Puan Sri Ramlah Dawi.
Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Jan 2019 selepas menggantikan Sultan Muhammad V iaitu Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut dengan nyanyian lagu Negaraku sebelum perarakan masuk Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke dewan di mana majlis santapan itu diadakan.
Mohammad kemudian memohon perkenan Seri Paduka untuk memulakan majlis dengan Minum Ucap Selamat kepada baginda dan lagu kebangsaan sekali lagi dimainkan.
Majlis itu turut menyaksikan Ucap Selamat Seri Paduka kepada ATM yang diiringi lagu Tentera Benteng Pertahanan Negara sebelum Majlis Santapan Beradat bermula.
Pada majlis itu juga, baginda berdua disajikan dengan tayangan montaj Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, persembahan multimedia dan nyanyian artis tempatan.
-- BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Raja Permaisuri Agong #Santapan Beradat Menjunjung Kasih
;