Agong, Raja Permaisuri berkenan lawat Suruhanjaya Tinggi M'sia di UK

Bernama
September 25, 2021 10:58 MYT
Seri Paduka berdua turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan komuniti rakyat Malaysia di London pada Majlis Santapan Teh Diraja. - Foto Facebook Istana Negara
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melawat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London pada Jumaat.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 4.30 petang (waktu tempatan) disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Zakri Jaafar dan isteri, Nor Aini Abd Rahman serta para kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
Pada lawatan selama dua jam itu, Seri Paduka berdua telah berkenan menerima persembahan taklimat daripada Zakri.
"Menzahirkan keperibadian tinggi baginda berdua, Seri Paduka berdua turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan komuniti rakyat Malaysia di London pada Majlis Santapan Teh Diraja," menurut Istana Negara menerusi kenyataan dalam laman Facebook hari ini.
Lawatan ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan sesi bersama rakyat Malaysia di London itu adalah antara atur cara Lawatan Khas Seri Paduka berdua ke United Kingdom (UK) selama 10 hari bermula 17 Sept lepas.
Menurut Istana Negara, hari ini, Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat melawat Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford manakala Tunku Hajah Azizah dijadual berangkat melawat Victoria and Albert Museum di London.
Dalam lawatan khas berkenaan, Yang di-Pertuan Agong turut dijadual berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, Seri Paduka pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.
Seri Paduka turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan United Kingdom Sir General Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom.
Carter juga pernah menuntut di Akademi Tentera Diraja Sandhurst.
Usai lawatan khas itu, Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 Sept dan dijadual berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.
Lawatan khas itu merupakan kali kedua bagi Seri Paduka ke UK sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dengan lawatan khas pertama diadakan tujuh hari bermula 9 Dis 2019.
-- BERNAMA
#United Kingdom #Raja Permaisuri Agong #Yang di-Pertuan Agong #Suruhanjaya Tinggi Malaysia
;