Agong, Raja Permaisuri berbuka puasa bersama PM, Jemaah Menteri
Bernama
Mac 6, 2025 22:47 MYT
Mac 6, 2025 22:47 MYT
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat pada Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua-Ketua Perwakilan Asing di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Jemaah Menteri dan perwakilan asing di Istana Negara di sini, malam ini.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Antara Jemaah Menteri yang hadir ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, serta timbalan-timbalan menteri.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul serta perwakilan asing antaranya dari Qatar, Bahrain, Mesir, Indonesia, Palestin, Brunei, Turkiye, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Seri Paduka Baginda turut menunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah bersama tetamu jemputan yang diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah, di Surau Utama Istana Negara.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim
#berbuka puasa
#Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim
#Istana Negara