Agong, Raja Permaisuri berbuka puasa bersama PM, Jemaah Menteri
Bernama
Mac 25, 2023 22:05 MYT
Mac 25, 2023 22:05 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama Jemaah Menteri dan perwakilan asing di Istana Negara, di sini malam ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang pulang daripada lawatan kerja rasmi ke Arab Saudi petang tadi, turut hadir pada majlis itu.
Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Antara Jemaah Menteri yang hadir ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta timbalan-timbalan menteri.
Individu kenamaan lain yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul serta Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.
Majlis itu turut dihadiri perwakilan asing antaranya dari Yaman, Turkiye, Arab Saudi, Syria, Jordan, Mesir, Senegal, Palestin, Bangladesh, Libya, India dan Brunei.
Seramai 15 penuntut dan seorang guru dari Pusat Tahfiz Darus Syabab Kepong turut menyertai majlis itu.
Seri Paduka berdua juga berkenan menunaikan solat fardu maghrib berjemaah bersama tetamu yang diimamkan Pegawai Agama Istana Negara Mohd Zuhairee Mohd Yatim di Surau Istana Negara.
-- BERNAMA