Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Kuantan
Bernama
Mei 4, 2022 23:24 MYT
Mei 4, 2022 23:24 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.
Turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan anakanda-anakanda serta kerabat Diraja Pahang.
"Pada majlis yang dihadiri kira-kira 400 tetamu tersebut, Seri Paduka berdua berkenan beramah mesra bersama semua tetamu yang hadir," menurut catatan di laman Facebook Istana Negara, malam ini.
Beberapa keping gambar majlis tersebut turut dimuat naik di laman media sosial itu.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Sallehuddin Ishak.
-- BERNAMA