Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga pegawai TUDM Hasnol Hisham
Bernama
November 24, 2021 21:27 MYT
November 24, 2021 21:27 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kol Hasnol Hisham Abu Hassan yang meninggal dunia di Seattle, Washington, Amerika Syarikat pada Sabtu lepas (Malaysia, 21 Nov).
Turut menzahirkan ucapan takziah adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Hasnol Hisham dan menzahirkan harapan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.
Al-Sultan Abdullah, selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada negara serta pengorbanan keluarga Allahyarham.
"Seri Paduka menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada TUDM dan negara selain mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan bersama para solihin," demikian menurut catatan itu.
Allahyarham Hasnol Hisham, 50, meninggal dunia pada 10.58 malam waktu Seattle, Washington (2.58 petang Ahad waktu Malaysia) di Hospital St Joseph Medical Center Tacoma, Seattle Washington.
Allahyarham yang merupakan Pengarah Latih di Markas Tentera Udara-Bahagian Sumber Manusia (Latih) sebelum itu tidak sedarkan diri ketika menghadiri Program 'Airman to Airman Talks (A2ATs)' di Camp Murray Seattle, Washington yang bermula 14 hingga 19 Nov.
-- BERNAMA