Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Masing

Astro Awani
Oktober 31, 2021 16:06 MYT
Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada negeri Sarawak. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing.
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.
‘’Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negeri Sarawak.
‘’Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada negeri Sarawak,’’ menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik menerusi laman Facebook.
Mendiang yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Sarawak sejak tahun 1983 pernah berkhidmat sebagai Menteri Pelancongan Sarawak pada tahun 1996.
BACA: James Jemut Masing meninggal dunia
Mendiang memulakan karier politik bersama Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) sebelum bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin parti politik lain untuk membentuk PRS pada tahun 2004.
Pada tahun 2017, mendiang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.
#James Jemut Masing #Parti Rakyat Sarawak #Timbalan Ketua Menteri Sarawak #Parti Bansa Dayak Sarawak #Yang di-Pertuan Agong
;