Agong, Permaisuri zahir ucapan sempena Ramadan
Astro Awani
Mac 22, 2023 21:10 MYT
Mac 22, 2023 21:10 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di negara ini.
Turut menzahirkan ucapan itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Bersempena ketibaan Ramadan, Al-Sultan Abdullah menyeru umat Islam mengaut keberkatan di bulan mulia ini untuk meneguhkan ketakwaan dalam diri dan menggandakan ibadah serta amalan.
"Justeru, perbanyakkan ibadah-ibadah sunat dan amalan-amalan kebajikan serta memperkukuhkan lagi ukhuwah sesama insan di samping meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia dan merugikan.
"Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan sempurna supaya dapat digolongkan bersama orang-orang yang bertakwa di sisi Allah Subhanahu wa Taala," menurut Baginda dalam catatan di laman Facebook Istana Negara, hari ini.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya dalam mengejar pahala adalah amat penting juga tidak mensia-siakannya dengan pembaziran makanan yang mana sisa makanan menjadi penyumbang terbesar pada bulan Ramadan terutamanya daripada ketika berbuka puasa.
"Perkara ini bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan yang mendidik umat Islam supaya bersederhana dan tidak membazir," katanya.
Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kehadiran bulan yang mulia ini turut disambut dengan rasa insaf dan syukur atas ujian, rahmat serta nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Taala kepada kita.
Seri Paduka Baginda berdua mengajak seluruh umat Islam mengambil keberkatan Ramadan untuk bersama Baginda berdua mendoakan semoga Malaysia terus dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah.