Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Clifford
Bernama
Mei 8, 2023 14:15 MYT
Mei 8, 2023 14:15 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Tan Sri Clifford Francis Herbert yang meninggal dunia, semalam.
Turut menzahirkan ucapan sama adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Istana Negara menerusi catatan di Facebook menyatakan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Clifford seterusnya berharap seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
"Seri Paduka berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti mendiang kepada negara," menurut catatan berkenaan.
Mendiang Clifford, 81, menyertai perkhidmatan awam pada 1964 sebagai Penolong Setiausaha Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari 1964 hingga 1968 dan kemudian berkhidmat di Kementerian Kewangan dari 1975 sebelum memegang jawatan KSP pada 1993 hingga 1997.
Mendiang pernah menjadi gabenor alternatif Bank Dunia dan dari 1994 hingga 2000 sebagai Pengerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Clifford juga pernah dilantik sebagai ahli lembaga pelbagai badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) antaranya Khazanah Nasional Berhad, Malaysian Airline System Berhad, PETRONAS, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.
Mendiang juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Percetakan Nasional Malaysia Berhad dan Pengerusi Kumpulan Wang Amanah Pencen.
Turut aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Clifford adalah lulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari University of Pittsburgh, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dari Universiti Malaya.
-- BERNAMA