Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga M.Daud Kilau dan Ibnor Riza
Bernama
Disember 19, 2023 22:12 MYT
Disember 19, 2023 22:12 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dua penghibur seni tanah air, Datuk M Daud Kilau dan Ibnor Riza Ibrahim, yang meninggal dunia baru-baru ini.
Turut menzahirkan ucapan takziah, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi satu hantaran di Instagram Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian kedua-dua Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu itu.
Al Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan agar roh kedua-dua Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
Datuk M Daud Kilau, 85, meninggal dunia pada 4.46 petang semalam akibat jangkitan kuman dalam darah, semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan di Perak, manakala Ibnor Riza, 62, meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, pada 3.30 petang, Ahad lepas.
-- BERNAMA