Agong, Permaisuri ucap Selamat Tahun Baharu Cina
Astro Awani
Januari 31, 2022 18:02 MYT
Januari 31, 2022 18:02 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan harapan semoga sambutan Tahun Baharu Cina mengukuhkan lagi perpaduan sesama rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa.
Menurut perkongsian di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan semoga rakyat dan keluarga tersayang dilimpahi kesejahteraan, keafiatan dan keceriaan.
“Seri Paduka Baginda berdua menasihati rakyat dalam meraikan hari yang bermakna ini mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri dengan berdisplin mengamal kawalan kendiri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada rakyat Malaysia yang menyambut perayaan ini,” menurut kenyataan itu.
#Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
#Yang di-Pertuan Agong
#perpaduan
#Tahun Baharu Cina