Agong, Permaisuri tunai solat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan

Bernama
Julai 31, 2020 02:07 MYT
Seri Paduka juga berkenan menyaksikan ibadah korban melibatkan sembilan ekor lembu yang diadakan di perkarangan masjid sebelum berangkat pulang. --fotoBERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah di Masjid Tengku Ampuan Afzan di sini.
Keberangkatan Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke masjid itu pada jam 8.25 pagi, disambut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pentadbiran negeri Pahang.
Turut berangkat menunaikan solat sunat itu ialah anakanda Seri Paduka berdua termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang kesemua mereka sedondon mengenakan baju Melayu berwarna kelabu.
Solat sunat itu dipimpin oleh imam besar masjid Mohd Hafiz Suhaili manakala bacaan khutbah Aidiladha disampaikan Kadi Kuantan Abdul Aziz Abd Karim.
Seri Paduka juga berkenan menyaksikan ibadah korban melibatkan sembilan ekor lembu yang diadakan di perkarangan masjid sebelum berangkat pulang.
-- BERNAMA
#Aidiladha #Al-Sultan Abdullah #hari raya #Ibadah Korban #korban #Kuantan #Masjid Tengku Ampuan Afzan #Pahang #Permaisuri Agong #solat sunat #Tunku Azizah #Yang di-Pertuan Agong