Agong, Permaisuri 'tawan' Puncak Candi Borobudur
Bernama
Ogos 28, 2019 06:38 MYT
Ogos 28, 2019 06:38 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu 'menawan' puncak Candi Borobudur, yang merupakan monumen warisan terkenal di Jawa Tengah, Indonesia.
Dalam lawatan itu, Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendaki anak tangga menuju ke puncak candi bagi menikmati pemandangan dan menghayati keunikan seni bina monumen bersejarah itu.
Lawatan Seri Paduka berdua ke candi Buddha terbesar dunia itu adalah satu refleksi kecintaan terhadap kepelbagaian budaya, nilai estetika dan sejarah.
Berkeluasan 2,500km persegi, Candi Borobudur yang dibina pada abad kelapan tersenarai sebagai satu daripada Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Pasangan diraja itu meluangkan masa kira-kira satu jam di tapak warisan dunia itu dan berkesempatan beramah mesra dengan pelancong termasuk rakyat Malaysia.
Seri Paduka berdua diiringi Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan delegasi Malaysia.
Terdahulu, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke kompleks Harto Soehardjo di Kotagede bagi melihat seni pembuatan kraftangan yang dihasilkan daripada perak.
Atur cara lawatan Seri Paduka berdua yang padat pada Rabu diakhiri dengan menyaksikan persembahan kebudayaan ‘Sendratari Ramayana’ di Kompleks Rama Shinta Ballet di Yogyakarta, malam tadi.
Seri Paduka berdua meluangkan masa lebih sejam menyaksikan pertunjukan epik Ramayana yang mengisahkan percintaan antara Dewi Shinta dan Rama, yang berlatarbelakangkan candi Hindu tercantik di dunia iaitu Candi Prambanan dan menggabungkan persembahan seni drama tarian dan muzik.
Seri Paduka berdua tiba di Yogyakarta pada Rabu sempena lawatan negara empat hari ke Indonesia sejak Isnin.
Pasangan diraja itu dijadual berangkat pulang ke Malaysia hari ini.
-- BERNAMA
#Candi Borobudur
#Indonesia
#Jawa Tengah
#monumen bersejarah
#pelancong
#persembahan kebudayaan
#pertunjukan epik
#puncak candi
#Raja Permaisuri Agong
#rakyat Malaysia
#Sultan Abdullah
#tapak warisan dunia
#Tunku Azizah
#Unesco
#Yang di-Pertuan Agong
#Yogyakarta