Agong, Permaisuri selamat tiba di tanah air
Astro Awani
Oktober 26, 2021 17:00 MYT
Oktober 26, 2021 17:00 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat tiba di tanah air selepas menamatkan Lawatan Khas ke United Kingdom hari ini.
Pesawat khas yang turut membawa Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan jam 3.45 petang tadi.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Turut berada di Pangkalan TUDM, YAB Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak dan Mufti Negeri Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.
Sejurus keberangkatan tiba, Seri Paduka Baginda berdua berkenan menjalani saringan COVID-19 dan menjalani kuarantin kendiri selaras dengan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua turut telah menjalani ujian saringan COVID-19 di London, United Kingdom tiga hari sebelum keberangkatan pulang.
Menurut Istana Negara, Lawatan Khas ini merupakan kali kedua Seri Paduka Berdua ke United Kingdom sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Lawatan Khas pertama adalah pada bulan Disember 2019, selama tujuh hari bermula 9 Disember.
"Dalam Lawatan Khas kali ini, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan berangkat melawat Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford, selain menerima kunjungan Yang Mulia Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Bin Zayed Al Nahyan di London.
"Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, General Sir Nicholas Patrick Carter, di London dan berangkat menghadiri majlis perjumpaan semula (reunion) bersama para rakan kadet Intake SMC 19 Royal Military Academy Sandhurst pada tahun 1978/79," memetik perkongsian tersebut.
Menzahirkan keprihatinan dan keperibadian tinggi Seri Paduka Baginda berdua, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut telah berkenan meluangkan masa bertemu dan menyantuni diaspora Malaysia di United Kingdom.
Usai Lawatan Khas ini, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan beristirahat di London.
#Yang di-Pertuan Agong
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
#lawatan khas ke United Kingdom