Agong, Permaisuri cemar duli ziarah mangsa banjir di PPS
Astro Awani
Disember 20, 2021 15:20 MYT
Disember 20, 2021 15:20 MYT
KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di sini, pada Isnin.
Pada lawatan pertama di PPS Wisma Belia Kuantan, Al-Sultan Abdullah meluangkan masa hampir sejam dengan menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa banjir.
Al-Sultan Abdullah turut mengingati rakyat yang terkesan akibat banjir supaya sentiasa bersabar dan reda dalam menghadapi ujian serta dugaan yang menimpa.
Baginda turut menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa banjir yang terpaksa berpindah dari rumah mereka ke PPS.
Al Sultan Abdullah juga tidak lupa mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus memberi bantuan kepada mangsa banjir kali ini.
"Saya berterima kasih kepada semua agensi kerajaan yang telah bertungkus-lumus membantu mereka mereka yang terlibat dalam keadaan banjir dan saya harap kita terus pertingkatkan usaha untuk memberi pertolongan kepada setiap yang memerlukan walaupun dalam keadaan kita menghadapi wabak COVID-19, kita harus kekal kental dan dapat hadapi musibah ini sebaik mungkin,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda dalam masa sama mengingatkan mangsa-mangsa yang dipindah ke PPS agar menjalani ujian COVID-19 bagi mengelakkan tercetus Kluster PPS.
Dalam lawatan tersebut, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan bagi mengurangkan beban yang ditanggung mangsa-mangsa bencana alam itu.
Turut mengiring baginda ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Sallehuddin Ishak.