Agong, Permaisuri berkenan berbuka puasa bersama warga ATM

Bernama
April 12, 2023 23:54 MYT
Seri Paduka berdua disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Masjid Khalid Al-Walid, di sini.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke majils itu pada 6.40 petang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Seri Paduka berdua disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.
Turut hadir, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob.
Pada majlis itu, Affendi dalam ucapannya menzahirkan terima kasih atas keprihatinan Seri Paduka berdua terhadap warga ATM.
"Kemesraan dan kecaknaan Tuanku berdua sentiasa menjadi pembakar semangat untuk patik-patik sekalian melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan," katanya.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 50 anak yatim, balu ATM serta kakitangan awam kementerian sebelum berkenan menunaikan solat maghrib bersama para jemaah sebelum berangkat pulang.
-- BERNAMA
#Amanah #ATM #Yang di-Pertuan Agong #puasa
;