Agong, Permaisuri berbuka puasa di Masjid Al-Azim

Bernama
April 22, 2022 13:17 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Al-Azim, hari ini. - Foto BERNAMA
MELAKA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berbuka puasa bersama kira-kira 1,600 rakyat di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini.
Seri Paduka, yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 7 malam.
Turut mengiringi adalah Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Ab Rahman serta Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan isteri Datin Seri Munira M. Yusop.
Seri Paduka Berdua turut berkenan menunaikan solat Maghrib di masjid berkenaan sebelum berangkat pulang.
Seri Paduka Berdua dijadual berangkat ke Majlis Menerima Menghadap Ahli-ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Hotel DoubleTree by Hilton, esok.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Raja Permaisuri Agong #berbuka puasa #Masjid Al-Azim #bukit palah