Agong, Permaisuri berangkat ke London untuk lawatan khas bermula esok
Astro Awani
Oktober 9, 2022 18:02 MYT
Oktober 9, 2022 18:02 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke London, United Kingdom (UK) bagi mengadakan lawatan khas bermula esok hingga 16 Oktober depan.
Dalam rangka lawatan khas tersebut, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadualkan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Britain, Raja Charles III di Istana Buckingham pada 12 Oktober.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua mencerminkan keakraban Al-Sultan Abdullah dengan Raja Charles III.
"Seri Paduka Baginda menjalin persahabatan dengan Raja Charies III sejak lebih empat dekad dan pernah bersukan polo berkuda bersama-sama ketika zaman remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.
"Kunjungan hormat ini juga mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan UK sejak kemerdekaan Malaysia 65 tahun lalu," katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Jelas Ahmad Fadil lagi, pada 12 Oktober, Seri Paduka Baginda berdua turut dijadualkan berangkat menyempurnakan majlis perasmian projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London, iaitu Stesen Janakuasa Battersea.
Katanya, projek berkeluasan 16.99 hektar itu membabitkan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sejak 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak sembilan bilion pound (RM51.53 bilon).
Ahmad Fadil menambah Seri Paduka Baginda berdua dijadual mengakhiri lawatan khas tersebut dan berangkat pulang ke tanah air pada 16 Oktober.
Dari segi hubungan dua hala, UK merupakan rakan dagang ke-18 terbesar Malaysia pada 2021 dengan jumlah dagangan direkodkan antara kedua-dua negara sebanyak RM17.17 bilon, peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding 2020.
Nilai eksport Malaysia ke UK pada tahun lalu telah direkodkan sebanyak RM9.78 bilion, manakala nilai import dari UK sebanyak RM7.39 bilion.
#Agong berangkat ke London
#Al-Sultan Abdullah Lawatan Khas
#Raja Charles III
#Hubungan Malaysia United Kingdom