Agong, Permaisuri adakan lawatan negara ke Brunei esok
Bernama
Oktober 12, 2024 16:19 MYT
Oktober 12, 2024 16:19 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengadakan lawatan negara ke Brunei bermula esok hingga 15 Okt.
Ringkasan AI
- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah akan mengadakan lawatan negara pertama mereka ke Brunei dari 13 hingga 15 Oktober 2024, sejak menaiki takhta pada 31 Januari 2024.
- Lawatan ini bertujuan mengukuhkan hubungan erat di antara Malaysia dan Brunei, yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu, agama, budaya, dan ikatan kekeluargaan, serta bertepatan dengan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
- Seri Paduka Baginda akan diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
- Mereka akan menghadiri pelbagai acara termasuk Majlis Sambutan Negara, kunjungan menghadap Sultan Brunei, dan sesi ramah mesra dengan komuniti Malaysia di Bandar Seri Begawan.
Kunjungan itu merupakan lawatan negara pertama Seri Paduka Baginda ke Brunei sejak menaiki takhta pada 31 Jan 2024.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan lawatan negara itu akan terus mengukuhkan lagi hubungan erat dan istimewa antara Malaysia dan Brunei yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu, agama, budaya serta ikatan kekeluargaan.
"Lawatan itu juga dilihat signifikan dengan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei," menurut kenyataan itu.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda akan diiringi Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin serta pegawai-pegawai Istana Negara, kementerian dan agensi berkaitan.
Seri Paduka Baginda akan diraikan dalam Majlis Sambutan Negara di Istana Nurul Iman disusuli dengan kunjungan menghadap ke atas Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
"Sultan Hassanal Bolkiah juga berkenan mengadakan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah. Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong juga dijadualkan menghadiri sesi ramah mesra dengan komuniti Malaysia di Bandar Seri Begawan.
"Raja Permaisuri Agong juga akan mengadakan lawatan ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan merasmikan Sudut Penerbitan Malaysia yang mempamerkan penerbitan penyelidikan bersama antara Brunei dan Malaysia," menurut kenyataan itu.
Pada 2023, Brunei menjadi rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia dan rakan dagang keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan dagangan berjumlah RM9.31 bilion (US$2.04 bilion).
Bagi tempoh dari Januari hingga Julai 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara adalah sebanyak RM5.48 bilion (US$1.16 bilion)
-- BERNAMA