Agong perkenan pindaan akta atasi isu keselamatan dalam talian

Farhan Hakimi
Januari 28, 2025 12:20 MYT
Fahmi berucap pada Majlis Pelancaran Chatbot Sebenarnya.my di Cyberjaya hari ini. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
CYBERJAYA: Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia dan Kanun Keseksaan berkaitan buli siber dalam dan luar talian yang diluluskan Dewan Rakyat bulan lalu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, selepas diwartakan, kerajaan akan berupaya menangani beberapa masalah dalam talian.
"Ini termasuk pedofilia dalam talian, jenayah seksual terhadap kanak-kanak, buli siber dan masalah-masalah melibatkan scam (penipuan)," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Chatbot Sebenarnya.my di sini hari ini.
Pada Disember lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dan RUU Keselamatan Dalam Talian 2024.
Ia bertujuan meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, undang-undang berkenaan ditumpukan kepada syarikat penyedia perkhidmatan yang bakal terlibat dalam proses pelesenan pada Januari.
Selain RUU berkenaan, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) turut dipinda.
Ini bertujuan menambah baik beberapa perkara, antaranya bagi memasukkan huraian lebih terperinci untuk perkara yang digariskan dalam akta berkenaan.
#buli siber #Fahmi Fadzil #Yang di-Pertuan Agong #dalam talian #keselamatan siber
;