Agong periksa dua kemalangan berlaku sekitar Putrajaya

Bernama
November 8, 2019 15:18 MYT
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertanya khabar mangsa kemalangan jalan raya berhampiran Plaza Tol Putrajaya pada Jumaat. - Gambar Instagram Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menunjukkan keprihatinan terhadap pengguna jalan raya apabila mencemar duli turun daripada kenderaan rasmi Seri Paduka untuk memeriksa dua kemalangan yang berlaku di sekitar Putrajaya pagi tadi.
Laman Instagram Istana Negara (istana_negara) hari ini memuat naik dua klip video dan dua gambar menunjukkan Seri Paduka memeriksa keadaan serta bertanya khabar pemandu yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
"Seri Paduka Baginda menasihati kepada semua pemandu untuk memandu dengan berhati-hati ketika hujan lebat bagi mengelakkan kemalangan," menurut hantaran itu.
Menurut hantaran itu, kemalangan pertama berlaku di Cyberjaya dan kedua berhampiran Plaza Tol Putrajaya di Lebuhraya Maju (MEX).
Dalam video pertama, Yang di-Pertuan Agong kelihatan tidak kekok melangkah besi pembahagi jalan bagi melihat keadaan kenderaan yang terlibat, selain berbual dengan pemandu tersebut.
Dalam video kedua pula, Seri Paduka kelihatan berbual dengan pasangan yang terlibat dalam kemalangan itu serta tidak keberatan bergambar bersama mereka apabila diminta oleh pasangan itu. - BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Cyberjaya #Instagram #Istana Negara #memeriksa dua kemalangan #Putrajaya #Seri Paduka #Yang di-Pertuan Agong
;