Agong optimis hubungan Malaysia-Turkiye terus meningkat ke tahap lebih tinggi

Bernama
Ogos 20, 2022 12:29 MYT
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan beramah mesra bersama rakyat Malaysia semasa berangkat ke Majlis Santapan Makan Malam bersama rakyat Malaysia. Foto BERNAMA
ISTANBUL (Turkiye): Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah optimis hubungan dua hala antara Malaysia dengan Turkiye akan terus meningkat ke tahap lebih tinggi menjelang 60 tahun hubungan kedua-dua negara pada 2024.
Seri Paduka bertitah Malaysia dan Turkiye yang telah bersetuju meningkatkan taraf hubungan dua hala kepada perkongsian strategik komprehensif akan terus kekal kukuh melalui pelbagai kerjasama antara kedua-dua negara.
"Lawatan Negara ke Turkiye adalah landasan pengukuhan hubungan dua hala dan menjadi pemangkin persahabatan yang terjalin sejak lebih enam dekad lepas.
"Justeru saya berharap agar hubungan antara Malaysia dengan Turkiye akan terus terpelihara dan dijaga dengan rapi," titah Al-Sultan Abdullah pada majlis Santapan Malam bersama 100 rakyat Malaysia yang bermastautin di sini malam tadi.
Majlis Bersama Diaspora Malaysia itu adalah sebahagian daripada rangka Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong selama tujuh hari di Turkiye bermula Isnin (15 Ogos).
Turut mencemar duli, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Puteri Jihan 'Athiyatullah.
Hadir sama, Menteri Pengiring yang juga Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Terdapat hampir 600 warga Malaysia yang kini menetap di seluruh Turkiye, terdiri daripada pelajar institusi-institusi pengajian tinggi, golongan profesional dan yang berkahwin dengan warga Turkiye.
Al-Sultan Abdullah bertitah ini bukan sahaja menunjukkan dengan jelas keakraban hubungan dua hala tetapi turut memberi gambaran peluang baik kepada rakyat Malaysia untuk menimba ilmu atau mencari rezeki di negara itu.
Seri Paduka bertitah kejayaan rakyat Malaysia di Turkiye yang mencapai banyak kejayaan dan pengiktirafan dalam pelbagai bidang adalah cerminan sebenar rakyat Malaysia yang sentiasa berusaha menjaga dan mengharumkan nama negara tidak kira di mana sahaja mereka berada.
"Nur Balqis Abdul Rashid merupakan rakyat Malaysia pertama yang diiktiraf oleh kerajaan Turkiye, sebagai penterjemah profesional daripada bahasa Turkiye ke bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
"Di sini saya secara peribadi merasa bangga sekali dapat melihat bagaimana Presiden (Recep Tayyip) Erdogan mengakui sendiri kelebihan Nur Balqis yang bertutur bahasa Turkiye dan bahasa Inggeris ketika pertemuan empat mata saya dengan Erdogan," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah yang menzahirkan rasa sukacita dengan Lawatan Negara ke Turkiye turut bertitah, keberangkatan baginda dan keluarga umpama mimpi apabila dapat menjejakkan kaki ke bumi Turkiye buat kali pertama setelah berumur 63 tahun.
Sementara itu, pengusaha restoran di Turkiye Syaraff Al Sadat Mohsein yang hadir pada majlis itu berkata kerjasama dua hala yang terus kukuh dalam pelbagai sektor telah memberi peluang kepada ramai pihak terutama ahli perniagaan dan pelabur-pelabur Malaysia.
"Pada November 2021, kami melihat peta dunia, semua (negara) menutup (sempadannya). Negara yang membuka sempadan satu-satunya adalah Turkiye dan kita mengambil keputusan, mengambil peluang di sini untuk memulakan perniagaan di Turkiye," katanya ketika ditemui Bernama.
Peluang bertemu Seri Paduka berdua dalam Majlis Santapan Malam itu memberi makna cukup besar kepada juruterbang Turkish Airline Fauzul Kabyr Faizal Nur yang menyifatkan jalinan kerjasama Malaysia dan Turkiye membuka banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk mencuba mencari rezeki di Turkiye.
"Saya sebagai rakyat Malaysia rasa berbesar hati sebab Yang di-Pertuan Agong datang ke Turkiye dan Raja Permaisuri Agong juga ada hari ini. Baginda juga bertitah ini kali pertama baginda datang ke Turkiye dan itu adalah satu penghargaan yang besar terhadap kami rakyat Malaysia yang menetap di Turkiye," katanya yang telah dua tahun berkhidmat di syarikat penerbangan terkemuka itu.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Turkiye #Hubungan dua hala #Istanbul
;