Agong mahu kerajaan kaji punca banjir tahunan, cari penyelesaian
Azee Shafy
Mac 3, 2023 18:41 MYT
Mac 3, 2023 18:41 MYT
MARAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan menjalankan satu kajian untuk mengenal pasti punca banjir yang kerap berlaku setiap tahun terutama apabila tiba Monsun Timur Laut (MTL).
Titahnya, kajian lebih teliti perlu dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian dalam tempoh jangka pendek dan jangka panjang.
"Saya harap pihak kerajaan dapat memberi satu kajian yang teliti untuk menentukan usaha-usaha bagi mengurangkan bebanan banjir ini agar dapat diatasi untuk jangka pendek dan jangka panjang.
"Kalau dilihat dari segi jangka panjang, saya harap projek-projek atau program tebatan banjir ini perlu dikaji dengan teliti. Dalam pada itu juga, sungai-sungai khususnya Sungai Pahang memerlukan kajian teliti dan terperinci supaya dapat didalamkan kerana kita faham bahawa sungai-sungai di Pahang ini sudah nampak cetek sangat," katanya
Beginda bertitah demikian selepas mendengar taklimat daripada Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Che Adam A. Rahman di Pusat Pemindahan Banjir (PPS) Kampung Baru Sungai Chedong di Maran, pada Jumaat.
Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah
Jelas baginda, sungai-sungai di negara menjadi cetek setiap tahun dan apabila tiba musim banjir, air sungai akan melimpah ke tebing-tebing berhampiran.
"Mungkin dari teknikalnya perlu buat kajian oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Soal kos kita fikir kemudian, sebaliknya kita kena cari punca-punca sebab banjir setiap tahun.
"Dan pandangan ini juga mungkin tertakluk pada sungai-sungai kecil di bandar, longkang-longkang kecil di tengah bandar, termasuk juga longkang atau parit yang tidak dikendali atau selenggara dengan baik yang mungkin menjadi asbab puncanya bermulanya masalah banjir di bandar-bandar," ujar baginda.
Pada masa sama, baginda turut bertitah agar semua mangsa banjir yang ditempatkan di PPS agar dapat menjaga kebersihan dan keselamatan ahli keluarga masing-masing sepanjang berada di pusat pemindahan terbabit.
Baginda juga meminta agar orang ramai patuh kepada arahan pihak berkuasa sekiranya menerima arahan untuk berpindah ke pps ketika banjir.
PPS Kampung Baru Sungai Chedong menempatkan 203 mangsa daripada 47 keluarga sejak kampung itu dilanda banjir pada 1 Mac lalu.