Agong mahu ahli politik hormat titah Baginda, beri sokongan padu pada Belanjawan 2021

Firdaus Azil
Oktober 28, 2020 14:20 MYT
Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November, 2020. - Foto Istana Negara
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Dewan Rakyat dinasihatkan untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Tuanku bertitah bahawa sokongan terhadap Belanjawan itu penting demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat, serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
“Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan di Parlimen pada masa yang terdekat, adalah amat penting kepada Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, khususnya para petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman wabak ini dari terus merebak,’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah menyeru Ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik.
Selain itu, mereka juga digesa mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.
“Seri Paduka Baginda mengingatkan Ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak COVID-19 ini,” katanya lagi.
Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.
Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam dari 8.00 pagi ini, beliau berkata, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November, 2020.
“Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan Seri Paduka Baginda agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19.
“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini,” katanya lagi.
Ahmad Fadil berkata lanjut, Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan Kerajaan.
#Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah #ahli politik #perbalahan #Belanjawan Negara 2021 #Belanjawan 2021 #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #politik #Parlimen #Dewan Rakyat #ekonomi #kerajaan #rakyat #menteri #COVID-19
;