Agong luang masa santuni penduduk Sungkai
Bernama
September 21, 2023 21:14 MYT
September 21, 2023 21:14 MYT
TANJUNG MALIM: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan konvoi, disambut meriah oleh penduduk Sungkai ketika dalam perjalanan berangkat ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, hari ini.
Menurut laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka yang memandu sendiri kenderaan turut berkenan menyantuni penduduk tempatan dan mengurniakan sumbangan.
Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan melawat NWRC Sungkai bagi meninjau sendiri dengan lebih jelas usaha konservasi hidupan liar, termasuk Harimau Malaya yang diselamatkan daripada kecederaan, penyeludupan, rampasan dan serahan, di Semenanjung Malaysia.
Keberangkatan Seri Paduka kira-kira pukul 11.30 pagi itu, turut diiringi Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
Sementara itu, dalam perjalanan pulang Seri Baginda juga sempat meluangkan masa menyantuni penduduk, yang masih menunggu rombongan tersebut di sepanjang jalan di Sungkai.
Tengku Hassanal kemudian berkenan menyantuni penduduk dengan keluar dari kenderaan dan berswafoto bersama penduduk, yang rata-rata sangat teruja bertemu mata dengan Pemangku Raja Pahang itu.
-- BERNAMA