Agong kutuk perbuatan keji, zalim Zionis, seru umat Islam solat hajat, doa selamat

Najib Aroff
Mei 16, 2021 04:35 MYT
Seri Paduka Baginda bertitah, rakyat Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin ke arah mencapai aspirasi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan serangan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin pada hari-hari terakhir Ramadan adalah satu perbuatan keji dan amat zalim.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan supaya Malaysia, Indonesia dan Brunei, mengeluarkan satu kenyataan bersama mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim Rejim Zionis.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.
"Seri Paduka Baginda menyifatkan pencerobohan dan serangan berterusan terhadap tempat suci umat Islam yang ketiga itu dan rakyat Palestin di hari-hari terakhir bulan Ramadan yang mulia sebagai perbuatan keji dan tindakan yang amat zalim serta tidak berperikemanusiaan.
"Baginda turut menitahkan masjid dan surau di negara ini, serta rakyat di kediaman sendiri, untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel," kata Ahmad Fadil.
Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa kerajaan Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan persidangan tergempar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi membincangkan keganasan Israel terhadap Palestin yang dijadual berlangsung hari ini.
"Seri Paduka Baginda bertitah, rakyat Malaysia sentiasa bersolidariti bersama Palestin ke arah mencapai aspirasi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin," menurut kenyataan itu.
Ia selari dengan pendirian dan prinsip kerajaan Malaysia yang tidak berbelah bahagi menyokong usaha-usaha penubuhan negara Palestin berdaulat, titah Al-Sultan Abdullah.
Baginda turut menzahirkan harapan supaya seluruh rakyat Malaysia terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat menghormati, di samping menolak serta menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.
#Yang di-Pertuan Agong #Palestin #Israel #Gaza #Zionis #keganasan #serangan #Ramadan #Indonesia #Brunei #kerajaan #rakyat #rakyat Malaysia #Malaysia #Islam #negara merdeka #negara berdaulat #solidariti #Al-Sultan Abdullah #solat hajat #doa selamat