Agong kurnia watikah kepada tujuh duta Malaysia ke luar negara

Astro Awani
Julai 18, 2016 21:39 MYT
Agong kurnia watikah kepada tujuh duta Malaysia ke luar negara - Gambar Wisma Putra
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat menghadiri istiadat pengurniaan watikah pelantikan kepada tujuh duta besar Malaysia ke luar negara.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka ialah Abd Razak Abdul Wahab yang akan bertugas di Turki, Roseli Abdul (Turkmenistan), Muzafar Shah Mustafa (Venezuela), Mohd Hassan Bal (Croatia), Datuk Raszlan Abdul Rashid (Filipina), Datuk Mahinder Singh Ram Singh (Switzerland) dan Datuk Hasnudin Hamzah (Belgium).
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Othman Hashim.
Selain itu, dua orang Ketua Perwakilan Malaysia yang baharu telah menerima Surat Pelantikan sebagai Wakil Tetap Malaysia daripada Anifah di Wisma Putra.
Majlis penyerahan Surat Pelantikan tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Setiausaha, Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Othman Hashim.
"Wakil-wakil Tetap tersebut adalah Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Geneva, Datuk Amran Mohamed Zin dan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta, Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa," jelas kenyataan itu.
Amran memulakan perkhidmatan di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1994 sebelum dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Geneva. Beliau merupakan Duta Besar Malaysia ke Turki sejak tahun 2014 dan pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Asia Tenggara dari tahun 2010 hingga 2014.
Selain itu beliau pernah menjadi Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dari tahun 2008 hingga 2010 dan pernah bertugas sebagai Setiausaha Kedua di Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat dari tahun 1996 hingga 2001 dan Timbalan Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland dari tahun 2004 hingga 2008.
Dalam pada itu Sharifah Norhana memulakan perkhidmatan di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1995 sebelum dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN di Jakarta.
Beliau merupakan Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN Malaysia sejak tahun 2013 dan pernah memegang jawatan sebagai Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di Rome, Itali dari tahun 2009 hingga 2013.
Shariffah Norhana juga pernah bertugas sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Besar Malaysia di Vienna, Austria dari tahun 2001 hingga 2005.
#agung #Duta Malaysia #Wisma Putra