Agong kurnia sumbangan makanan kepada petugas CPRC

Bernama
Mac 19, 2020 19:14 MYT
Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan tengah hari daripada Yang di-Pertuan Agong kepada petugas CPRC di Putrajaya. - Gambar Facebook Noor Hisham Abdullah
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan makanan tengah hari kepada petugas Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di Kementerian Kesihatan, Putrajaya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan di Facebook berkata, sumbangan yang diterima semalam dan hari ini itu masing-masing diserahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin serta wakil Istana Negara.
Sementara itu di Instagram rasmi Istana Negara, turut memaklumkan Al-Sultan Abdullah menyampaikan salam dan merakamkan ucapan terima kasih atas pengorbanan dan komitmen petugas kesihatan dalam melaksana tanggungjawab membendung jangkitan wabak COVID-19.
Al-Sultan Abdullah turut berdoa semoga penularan wabak COVID-19 berjaya ditangani dan diakhiri dengan segera. - BERNAMA
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #COVID19 #CPRC #Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan #sumbangan makanan #Yang di-Pertuan Agong
;