Agong kurnia bot pemintas berteknologi tinggi kepada Maritim Malaysia Pahang
Bernama
Mac 6, 2025 12:45 MYT
Mac 6, 2025 12:45 MYT
Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan bot berkenaan untuk meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan dalam operasi kawalan perairan negara. - Foto Maritim Malaysia
KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menerusi Royal Boat Hangar Johor di Pos Maritim Teluk Gading, semalam.
Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan bot berkenaan untuk meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan dalam operasi kawalan perairan negara.
"Kurniaan ini mencerminkan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong terhadap keselamatan perairan negara dan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam mengekang ancaman jenayah maritim.
"Bot ini adalah pinjaman tanpa kos bagi tempoh lima tahun bermula 1 Mac 2025 dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempertingkatkan keupayaan rondaan serta operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Maritim Pahang Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab dan wakil Royal Boat Hangar Johor Mohamad Yuni Ismail.
Saiful Lizan berkata bot tersebut akan digunakan dalam pelbagai operasi yang dilaksanakan Maritim Pahang merangkumi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), penguatkuasaan undang-undang di laut dan rondaan maritim.
"Keupayaannya akan memperkasakan peranan Maritim Malaysia dalam menghalang pencerobohan, penyeludupan serta aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya di perairan Pahang. Kurniaan ini bukan sahaja satu penghormatan buat Maritim Malaysia Negeri Pahang tetapi juga satu amanah besar dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara," katanya.
Bot IC 1170CC itu mempunyai spesifikasi canggih dengan panjang 12.6 meter dan lebar 3.5 meter serta dilengkapi enjin berkuasa tinggi yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 56 knot manakala kelajuan pelayaran optimum ialah 40 knot.
Reka bentuk dalaman bot ini turut diubah suai secara khusus bagi memastikan keselesaan serta kelancaran pergerakan kru semasa operasi, selain turut dilengkap aluminium trailer membolehkannya dipindahkan dengan mudah mengikut keperluan operasi serta memudahkan proses up-slip dan down-slip dalam tempoh segera.
Dibina berasaskan kejuruteraan moden, bot ini direka sebagai aset pemintas berkelajuan tinggi yang berupaya beroperasi secara optimum, menjadikannya aset strategik dalam usaha memperkukuh keselamatan perairan negara.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong
#bot pemintas berteknologi tinggi
#Maritim Malaysia Pahang
#Pos Maritim Teluk Gading