Agong harap Malaysia dan Singapura kembang kerjasama keterjaminan makanan, ekonomi hijau

Bernama
Mac 21, 2023 18:50 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan bertitah pada Majlis Santapan Diraja sempena lawatan Presiden Singapura, Halimah Yacob (kiri) di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar Malaysia dan Singapura boleh mengembangkan kerjasama dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, ekonomi hijau serta keterjaminan makanan.
Seri Paduka bertitah Singapura secara konsisten kekal sebagai antara rakan dagangan utama Malaysia di mana republik itu adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan sebaliknya.
"Adalah menjadi harapan beta agar hubungan yang erat ini akan terus mekar bagi mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada demi kepentingan bersama kedua-dua negara dan rakyat pada tahun-tahun akan datang," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Jamuan Negara bagi meraikan lawatan Presiden Singapura, Halimah Yacob dan delegasinya di Istana Negara hari ini.
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis itu.
Terdahulu, Halimah diberikan sambutan negara di Istana Negara sempena lawatan sulungnya selama tiga hari ke Malaysia yang bermula semalam.
Memandangkan kedua-dua negara sentiasa berkongsi hubungan yang utuh serta erat, Al-Sultan Abdullah bertitah baginda yakin bahawa jalinan persahabatan yang kukuh antara rakyat Malaysia dan Singapura akan terus menjadi faktor penting yang membentuk teras dalam hubungan dua hala.
"Kita berkongsi silaturahim agak unik serta terikat dengan pelbagai faktor seperti perkongsian sejarah, persamaan budaya dan hubungan rakyat dengan rakyat termasuk perkaitan kekeluargaan," titah baginda.
Sementara itu, sebagai anggota pengasas ASEAN, Seri Paduka bertitah Malaysia dan Singapura perlu terus menjalin kerjasama yang erat dalam mempromosi kestabilan dan keselamatan rantau ini serta menjadikan ASEAN sebagai kumpulan serantau yang dinamik.
Berhubung lawatan itu, Seri Paduka bertitah umpama aur dengan tebing, lawatan Presiden Singapura buat julung kalinya ke Malaysia adalah bukti hubungan kukuh serta persaudaraan erat antara kedua-dua negara dan rakyat.
"Adalah menjadi harapan beta agar lawatan negara ini akan memperkasa hubungan yang telah sekian lama terjalin dan membuka ruang kepada interaksi aktif Malaysia dan Singapura dalam meneroka pelbagai peluang dan bidang baharu serta mencari penyelesaian terbaik terhadap pelbagai perkara berbangkit," titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar lawatan tersebut membawa kenangan manis kepada Halimah sambil mendoakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik kepada Presiden Singapura itu dan suaminya, Mohamed Abdullah Alhabshee.
"Beta dan Raja Permaisuri Agong turut ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan yang bakal kunjung tiba kepada Puan Yang Terutama sekeluarga serta kepada rakyat Malaysia dan Singapura beragama Islam," titah Seri Paduka.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Halimah Yacob #keterjaminan makanan #Singapura
;