Agong gemar utus kad raya, lebih unik dan sangat klasik

Bernama
Mac 27, 2024 15:00 MYT
Sultan Ibrahim dilihat berkenan untuk menandatangani 200 kad ucapan semalam. - Gambar/ Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Semasa ramai menghantar ucapan raya menerusi WhatsApp atau media sosial ketika ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebaliknya memilih untuk meneruskan tradisi mengutuskan kad raya bagi menzahirkan ucapan Aidilfitri.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi Seri Paduka Baginda, Sultan Ibrahim dilihat berkenan untuk menandatangani 200 kad ucapan semalam.
"Seri Paduka Baginda amat gemar mengutus kad ucapan Aidilfitri secara tradisional kerana ia lebih mengeratkan hubungan antara istana dan rakyat jelata tanpa mengira agama dan bangsa.
"Seri Paduka Baginda lebih gemar mengutus kad ucapan Aidilfitri secara tradisional, kerana ia bukan sahaja lebih unik dan istimewa, malah sangat klasik," menurut hantaran itu.
Pada hantaran lain, Yang di-Pertuan Agong juga dilihat berkenan berbuka puasa bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak di sini, semalam.
Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Keberangkatan tiba Seri Paduka yang juga Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM disambut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #kad raya #jendela ramadan #tandatangan kad ucapan
;