Agong dipersembah laporan lengkap RCI Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan

Bernama
Ogos 12, 2024 16:00 MYT
Laporan itu dipersembahkan oleh Pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif serta kesemua ahli RCI, kepada Seri Paduka Baginda di Istana Negara hari ini. -Facebook
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dipersembahkan laporan lengkap Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dimaklumkan bahawa laporan itu dipersembahkan oleh Pengerusi RCI berkenaan Tun Md Raus Sharif serta kesemua ahli RCI, kepada Seri Paduka Baginda di Istana Negara hari ini.
Pada Februari, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan, Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan suruhanjaya tersebut berkuat kuasa serta merta.
Penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Pada 2 Feb 2017, Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ (23 Mei 2008) namun pada Mei 2018, Kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan itu, dua minggu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018.
Pada 27 Feb, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penubuhan RCI itu, bagi mencari jalan penyelesaian serta mengorak langkah penambahbaikan berkaitan sebarang isu membabitkan kedaulatan negara dan bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.
Azalina berkata rakyat Malaysia, khususnya rakyat negeri Johor, wajar diberikan penjelasan mengenai sebab dan faktor sebenar yang mendorong keputusan untuk tidak meneruskan Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di ICJ.
Pada 12 Jun Dr Mahathir memberi keterangan pada prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup.
-- BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #RCI #Kes Kedaulatan Batu Puteh Batuan Tengah dan Tubir Selatan
;