Agong di santapan malam ulang tahun Askar Melayu Diraja
Bernama
Disember 7, 2013 07:36 MYT
Disember 7, 2013 07:36 MYT
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah malam ini berkenan berangkat ke majlis Santapan Malam sempena ulang tahun ke-80 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Wisma Perwira Kementah di sini.
Turut berangkat adinda Tuanku Abdul Halim, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan isteri Datin Seri Diraja Puan Sri Datuk Sri Tengku Maliha Tengku Ariff.
Seri Paduka Tuanku Abdul Halim adalah Kolonel Yang Dipertua RAMD.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohd Affendi Raja Mohd Noor dan Panglima Medan Tentera Darat yang juga Pengerusi RAMD Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim.
Seri Paduka berdua kemudian berkenan merakamkan foto kenangan bersama 25 pegawai tertinggi RAMD di lobi utama.
Ini disusuli santapan Seri Paduka berdua bersama 400 pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja dari seluruh negara.