Agong dan Raja Permaisuri berangkat menyaksikan LIMA
Bernama
Mac 28, 2013 19:00 MYT
Mac 28, 2013 19:00 MYT
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Khamis berangkat menyaksikan Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) 2013 yang sedang berlangsung di sini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Hamidon.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri pada pukul 10.45 pagi itu disambut Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengiringi pasangan diraja itu ialah Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Dr Ismail Ahmad.
Seri Paduka berdua kemudian meluangkan masa menyaksikan persembahan udara oleh pasukan negara peserta LIMA seperti The Smokey Bandits daripada Tentera Udara Diraja Malaysia, Tim Aerobatik 1 Malaysia Krisakti dan The Russian Nights dari Rusia.
Berangkat sama menyaksikan persembahan udara itu Sultan Johor Sultan Ibrahim dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.
Seri Paduka berdua berangkat meninggalkan pusat pameran pada pukul 2.45 petang.