Agong bimbang kedamaian negara dicabar
Astro Awani
November 30, 2013 07:47 MYT
November 30, 2013 07:47 MYT
Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dukacita dengan tindakan segolongan rakyat yang berani melanggar undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Ia sekaligus mencabar keutuhan yang mampu mengancam kedamaian negara.
Baginda turut menyeru agar rakyat menghormati dan memuliakan undang-undang sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Atas kedudukan beta sebagai ketua negara, beta ingin menarik perhatian semua pihak mengenai tugas, tanggungjawab dan obligasi mereka sebagai rakyat malaysia yang diperuntukan oleh bahagian satu dalam perlembagaan persekutuan supaya mereka sentiasa menghormati dan memuliakan undang-undang ini,” baginda bertitah.
“Kerakusan perasaan dan keserongan yang bertentangan dengan hasrat kedamaian dan keamanan mengikut perundangan hanya membawa padah buruk bagi seluruh negara.”
Tuanku Abdul Halim yang juga merupakan Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) bertitah sedemikian selepas merasmikan konvokesyen ke-26 UUM Sintok,Kedah pada Sabtu.
Seramai 7,445 graduan termasuk penerima ijazah kehormat menerima ijazah mereka pada majlis konvokesyen.
#damai
#negara
#Perlembagaan Persekutuan
#titah
#Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah
#undang-undang
#Yang di-Pertuan Agong