Agong berkenan terima menghadap Presiden Singapura
Bernama
September 18, 2022 22:00 MYT
September 18, 2022 22:00 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Presiden Singapura, Halimah Yacob, di Hotel InterContinental Park Lane, London, United Kingdom (UK), hari ini.
Majlis menghadap itu adalah atas titah perkenan Seri Paduka yang kini berada di London bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bagi menghadiri istiadat pemakaman negara, mendiang Ratu Elizabeth II yang dijadualkan berlangsung esok.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata kedua-dua pemimpin menyentuh berkenaan pengukuhan hubungan dua hala yang istimewa dan erat terjalin sekian lama antara Malaysia dan Singapura dalam sesi selama 45 minit bermula jam 9.30 pagi waktu tempatan.
"Seri Paduka dan Halimah turut menyentuh berkenaan usaha-usaha kerjasama mendalam antara Malaysia dan Singapura serta pelaksanaan pelbagai skim perjalanan merentas sempadan seperti Skim Laluan Hijau Timbal Balik, Skim Perjalanan Lengkap Vaksin dan Skim Pengaturan Ulang Alik Berkala.
"Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada kerajaan Singapura atas persilaan Perdana Menteri Singapura kepada Baginda untuk berangkat menghadiri perlumbaan Formula 1 Grand Prix Singapura 2022 yang akan berlangsung selama dua hari, bermula 1 Okt ini," katanya dalam hantaran di Facebook Istana Negara, malam ini.
Ahmad Fadil, berkata Seri Paduka berdua turut dijadualkan berangkat melakukan lawatan negara ke Singapura selama tiga hari bermula 25 Okt selepas tarikh lawatan asal pada 19 Sept ditangguhkan berikutan lawatan khas Seri Paduka berdua ke London bermula 16 Sept hingga 21 Sept bagi memenuhi jemputan rasmi kerajaan UK.
Sementara itu, katanya, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat ke Majlis Resepsi Bersama Raja Britain, Raja Charles III di Istana Buckingham, London pada jam 6 petang waktu tempatan hari ini.
"Ia diikuti keberangkatan Seri Paduka berdua ke Westminster Hall, London untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ratu Elizabeth II," katanya.
Selain itu, katanya, Al-Sultan Abdullah juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Selasa ini.
-- BERNAMA